Selamat Datang ke Blog Matatech

Jumaat, 12 Jun 2009

Kerajaan sisihkan pesara tentera OKU

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh) - Harapan bekas anggota yang hilang upaya kepada Menteri Pertahanan baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membela nasib mereka nampaknya hanya tinggal impian.
Kadar bayaran pencen hilang upaya kepada bekas tentera terutama yang berkhidmat menentang Komunis sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, kini tidak mampu lagi menampung perbelanjaan keluarga.
Mereka tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan sama ada dari segi pencen setelah mengalami kecederaan, hilang upaya atau hilang upaya kekal.
Sebaliknya kenaikan kadar pencen yang diumumkan Abdulah 21 Mei 2007 tidak melibatkan pencen hilang upaya bekas tentera.
Mereka juga tidak termasuk di kalangan 325 anggota dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalami kecederaan atau hilang upaya kekal semasa berkhidmat bakal menerima Skim Faedah Hilang Upaya Kekal baru, bermula awal tahun ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Wira Abu Seman Yusop pada 18 September lalu.
Malang bagi pesara tentera OKU yang berjumlah sekitar 250 orang di seluruh negara tidak mendapat sebarang pembelaan daripada kerajaan.
Bagi Zarawi Mohd, 52, yang kehilangan kaki kiri pada aras lutut berkata, tidak semua bekas tentera yang mengalami kecacatan dapat melakukan kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya pihak kerajaan sewajarnya memikirkan kaedah untuk membantu mereka selain bantuan dan sumbangan yang sedia ada.
"Jika kadar pencen hilang upaya dinaikkan, ianya dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan hidup yang ditanggung mereka dalam suasana harga barangan keperluan semakin meningkat sekarang," ujarnya ketika ditemui di sini.
Beliau mengalami kecederaan semasa menyertai Operasi Cahaya Bina 2 di Selatan Thailand pada 26 Julai 1977.
Rakannya Hamzah Musa, 58 berharap kerajaan mengkaji semula kadar pencen hilang upaya memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau yang terkena jerangkap samar musuh dalam operasi di Selamat Sawadee, Selatan Thailand pada 26 Ogos 1976.
"Ada di kalangan kami yang tak bekerja, terpaksa menanggung anak-anak sekolah yang ramai, pencen sedia ada tak mencukupi, jadi adalah wajar jika pencen tersebut dikaji semula," ujarnya yang mengalami kecederaan parah di kaki kiri.
Seorang lagi bekas tentera, Salleh Busu, 58 berkata, tiga tahun lalu ada cadangan supaya diselaraskan bayaran pencen hilang upaya dengan kadar minimum RM500 tetapi sehingga kini tiada apa-apa perkembangan mengenainya.
"Saya harap mendapat perhatian daripada kerajaan berhubung bayaran tersebut kerana boleh dikatakan sebahagian besar bekas tentera tidak menerima apa-apa anugerah termasuk tanah daripada kerajaan," ujarnya.
Beliau mengalami masalah penglihatan di kedua-dua belah mata setelah terkena jerangkap samar komunis dalam operasi untuk memusnahkan bom di Gubir, Kedah pada 1979.
Bekas platun bantuan pasukan Rintih Serang itu berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu.

Anggota unit komando maut ketika latihan

KULIM - Seorang anggota unit Komando dari Kem Mersing Johor terkorban apabila payung terjun yang digunakannya tidak berfungsi dari jarak seribu kaki. Lans Kopral, Amin Che Salleh, 27, yang sedang menjalani latihan payung terjun disahkan terbunuh apabila terjatuh di sebuah ladang, di Padang Menora jam 11.55 pagi kelmarin. Seorang saksi yang melihat kejadian itu berkata, dia melihat payung terjun yang digunakan oleh mangsa keluar tetapi tidak kembang seperti biasa. Ini menyebabkan mangsa jatuh dalam keadaan yang laju. Mangsa meninggalkan seorang isteri, Rozita Othman dan dua orang anak yang berusia tiga dan lima tahun. Rozita yang ditemui di Hospital Kulim kelihatan masih terkejut dengan berita kematian suaminya, dan hanya mampu memeluk anak-anak yang ada bersama di luar bilik forensik. Jenazah dikebumikan di Masjid Jamek Tasek Gelugor. Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia, Mohd Radzhi Salleh merupakan antara yang terawal sampai di hospital untuk menziarahi jenazah mangsa. “Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan dugaan Allah berikan kepada mereka,” katanya. Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kulim, Guzlan Salleh mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Kerajaan tidak pernah lupa jasa bekas tentera

SENAWANG – Pihak kerajaan sememangnya tidak pernah lupa jasa dan pengorbanan bekas anggota tentera dalam soal menjaga dan memastikan negara sentiasa bebas daripada sebarang ancaman bahaya. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat berkata, biarpun bekas tentera sudah lama meninggalkan tanggungjawab menjaga dan mengawal keselamatan negara, namun jasa mereka masih diperlukan. “Kerajaan sentiasa memberi perhatian berat terhadap kebajikan dan kepentingan bekas anggota tentera kerana negara berasa terhutang budi kepada mereka yang telah menyumbang sebahagian besar masa muda untuk mempertahankan negara. “Kesungguhan mereka memperjuangkan negara suatu ketika dahulu harus dijadikan contoh kepada kita hari ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Negeri Sembilan (PBTMNS) Seremban Kali Ke-39. Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan negara untuk memberi perhatian kepada kebajikan bekas anggota tentera sebagai mengenang jasa mereka. Katanya, pengiktirafan kerajaan terhadap anggota tentera tidak terbatas semasa mereka berada dalam perkhidmatan sahaja, bahkan kerajaan turut prihatin dengan bekas tentera. “Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) akan memberi sokongan dan membantu merangka usaha PBTMNS untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. “Saya mengharapkan persatuan ini terus aktif demi kebaikan anak-anak pada masa akan datang. “Apabila kita berpersatuan, kita tidak keseorangan kerana dikelilingi oleh ahli-ahli lain yang sentiasa bersedia membantu sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah,” katanya. Menurutnya, biarpun bekas tentera itu sudah lama meninggalkan kerjayanya, khidmat mereka masih diperlukan. “Jika dahulu, kita meminta keringat dan masa dari mereka untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara, tapi kini kita perlukan suara mereka. “Suara-suara mereka diperlukan untuk menasihati dan mengingatkan generasi kini untuk berusaha menjaga dan mengekalkan keamanan negara,” katanya. Dalam perkembangan lain katanya, masyarakat seharusnya bersyukur kerana Malaysia masih dapat memenuhi keperluan pertahanan negara kerana ramai anak muda sekarang secara rela hati menyertai angkatan tentera

Selasa, 9 Jun 2009

PAS AMAL DASAR `PINTU TERBUKA' ATAU `MENGETUK PINTU'?

Oleh: WFAUZDIN NS

SAYA amat tertarik dengan ucapan penggulungan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang di dalam Muktamar Pas baru-baru ini. Pada saya intipati ucapan Tuan Guru amat bertepatan dengan ajaran Islam terutamanya di dalam perkara mengajak umat kepada perdamaian. Cinta kepada perdamaian sememangnya ajaran Islam begitu juga mencintai kepada insan atau golongan yang juga mahukan perdamaian. Tuan Guru juga menyebut bahawa Pas sentiasa mengamalkan dasar `pintu terbuka' kepada semua samada dari mana-mana pertubuhan atau parti siasah. Itu juga amat bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.Cuma, yang menjadi kemusykilan kepada saya adalah kerana pada waktu dan ketika ini saya melihat Pas seperti tidak melaksanakan dasar `pintu terbuka' seperti yang diucapkan oleh Tuan Guru sebaliknya Pas dilihat lebih `mengetuk pintu rumah' orang lain. Seharusnya dasar pintu terbuka adalah mengajak mereka ke `rumah' kita dan bersama berjuang dengan kita, bukannya kita yang bersungguh-sungguh `mengetuk pintu rumah' nya. Isu Kerajaan Perpaduan sebagai contoh, secara terang-terangan menyebut Pas sedia berunding dengan Umno walaupun Pas tidak menyebut bahawa Pas akan menyertai Umno/Bn. Inilah yang menjadi keraguan kepada rakyat yang selama ini menyokong perjuangan Pas dan PR. Mereka mungkin tidak secerdik pimpinan Pas untuk mentafsir apakah tujuan sebenar Pas, tetapi `pengalaman' telah banyak mengajar mereka untuk menjadi lebih cerdik sedikit. Saya tidak mahu mengungkit peristiwa yang menjadi kontroversi yang berlaku di Selangor sejurus PR berjaya menubuhkan kerajaan di Selangor selepas Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. Pengalaman seperti ini amat menakutkan apatah lagi mereka yang terbabit masih berkuasa di dalam Pas. Bahkan, mereka ini lah yang lebih lantang menyokong Kerajaan Perpaduan ini meskipun Mursyidul Am Pas secara berterus terang menentang pendekatan tersebut.Pada hemat saya, Pas tidak perlu melibatkan Umno untuk memperkasakan perjuangannya, tetapi Pas harus menarik seramai mana mungkin ahli-ahli Umno sahaja. untuk bersama Pas. Lupakan sahaja jasad parti Umno atau kulitnya itu, tetapi ambillah isinya iaitu ahli-ahli Umno yang bukan kesemuanya kaki rasuah. Jika ini dapat dilakukan oleh Pas, nescaya tiada keraguan atau syak wasangka dari rakan-rakan di dalam PR bahkan juga ahli-ahli Pas sendiri. Pas, PKR dan DAP mesti berlumba-lumba untuk `memancing' mendapatkan ahli-ahli Umno demi memperkuatkan PR, bukannya `terpancing' oleh Umno dan media-medianya. Jangan dikaitkan samasekali nama tubuh Umno atas apa jua alasan, tetapi kerja dakwah Pas hendaklah ditumpukan kepada ahli-ahli Umno sahaja. Inilah juga strategi yang dilakukan oleh DS Anwar untuk memperkuatkan PKR, dan tidak salah jika Pas menuruti strategi ini kerana ia terbukti berkesan. Strategi berpakat atas nama parti Umno tidak akan berjaya dan sejarah telah membuktikannya. Maka, benarlah apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas bahawa parti Umno tidak boleh diajak berpakat untuk kebaikan, tetapi ahli Umno tidak mustahil boleh dibimbing dan dibentuk. Sudah berapa ramai ahli-ahli Umno bahkan tokoh-tokoh mereka yang menyertai Pas hasil daripada strategi ini.Paling penting perkuatkan dahulu PR yang terbukti telah banyak berjasa di antara satu sama lain. Kemudian usaha lebih giat perlu dilakukan untuk menarik ahli-ahli Umno bersama Pas. Percayalah, jika ini mampu dilaksanakan secara agresif oleh semua parti di dalam PR, maka di dalam Pilihanraya Umum Ke 13 nanti Umno sudah boleh kita `talkin'kan. Pimpinan Pas diharap akan dapat menyelesaikan isu Kerajaan Perpaduan ini dengan penerangan yang lebih tepat dan terperinci tanpa putar-belit yang menambahkan lagi keraguan rakyat. Barang harus diingat bahawa Pas kini telah mendapat sokongan rakyat Non Muslim melalui Kelab Penyokong Pas yang semakin berkembang sekarang. Jangan kerana silap percaturan dan strategi, Pas mendapat kerugian yang amat besar dan menjejaskan cita-cita Pas untuk menegakkan Islam di bumi tercinta ini.

Isnin, 8 Jun 2009

Kerajaan Wajar Bertindak Keatas 'Sisters In Islam'

KUALA TERENGGANU - Apabila Muktamar PAS Ke 55 yang berakhir semalam membuat ketetapan menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya, kumpulan tersebut melenting dan membalas dengan kenyataan yang amat keras.

Pengurus Program kumpulan itu, Norhayati Karpawi, menghamburkan tuduhan keras dengan mengatakan PAS merupakan sebuah parti politik yang autokratik dan hipokrit dalam perjuagannya.

"PAS bersifat autokratik dan tidak mendokong prinsip demokrasi yang dilaung-laungkannya selama ini

"Hal ini jelas bertetangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara yang diamalkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya yang dirakam mStar..

‘Sister In Islam’ sebagaimana namanya tidak pernah berdaftar dengan kerajaan Malaysia sebagai sebuah persatuan. Oleh yang demikian ia hanya layak dipanggil sebuah kumpulan sahaja, bukannya pertubuhan.

Menurut maklumat yang dipaparkan dalam laman web kumpulan tersebut, kumpulan itu mula ditubuhkan pada tahun 1988, namun hanya didaftarkan pada tahun 1993.

Setelah lima tahun bergerak secara ‘haram’ kumpulan itu telah secara terang melanggar undang-undang kerana mendaftar satu ‘pertubuhan’ sebagai sebuah syarikat dengan nama SIS Forum (Malaysia) Berhad.

Siapa Di belakang Kumpulan Itu?

Kumpulan tersebut tidak pernah mendedahkan organisasi mereka sebenarnya, meskipun melalui laman rasminya, tidak dinyatakan apakah bentuk organisasi kumpulan itu.

Namun menurut sumber, dalam Sisters In Islam, ahlinya adalah terdiri dari Marina anak mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Begitu juga Nori isteri Khairy, anak Tun Abdullah Badawi dan dikhabarkan ia turut dianggotai oleh para isteri serta keluarga menteri.

Namun yang paling dikenali adalah Zainah Anwar yang dikatakan pernah menjadi Pengarah Eksekutif bagi kumpulan ini.

Zainah dilaporkan tidak pernah mendapat pendidikan Islam secara formal. Beliau pernah menuntut di Fletcher School of Law and Diplomacy, Tufts University, Boston University dan Institut Teknologi MARA .

Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di New Straits Times dan seangkatan dengan bekas Ahli Parlimen Ruhanie Ahmad semasa bertugas menjadi kumpulan wartawan khusus membuat liputan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.

Yang paling memeranjatkan, beliau adalah anak perempuan kepada Tan Sri Anwar Malik, orang yang telah memberikan nama kepada United Malays National Organisation atau UMNO, dulunya disebut sebagai United Malays Organisation.

Namun, sekiranya fakta yang disampaikan tdak silap, Kumpulan yang dinamakan ‘Sister In Islam’ ini telah diasaskan bersama oleh Aminah Wadud bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang kontroversi kerana menjadi perempuan pertama yang menjadi imam untuk solat Jumaat.

Kontroversi

Selain PAS yang membuat ketetapan meminta kerajaan menyiasat kedudukan kumpualan ini, ahli-ahli UMNO dalam perhimpunan Agongnya pada 2006 pernah mengungkit tentang kumpulan ini yang dikatakan mencabar dan menghina undang-undang Syariah.

Individu yang sama, Norhayati Karpawi menghentam pemimpin UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang dituduh beliau sengaja mengapi-apikan sentimen dengan niat buruk terhadap kumpulan itu.

Selain UMNO, Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) pernah menyelar sekeras-kerasnya program 'Musawah' iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran kumpulan ini.

PUMPP menyifatkan kumpulan ‘sisters in Islam’ sebagai pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia dan program pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan sebagaimana yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Mufti Perak, Harussani Zakaria dalam satu ceramahnya pernah menyifatkan mereka ini (sisters in islam) telah terkeluar Islam kerana mempertahankan Islam liberal yang mengatakan A-Quran sudah ketinggalan zaman.

Kumpulan ini adalah dalam jaringan Islam Liberal bersama tokoh-tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar termasuk Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia).

Antara kontroversi lain kumpulan ini adalah;

1. Menolak poligami yang dibenarkan oleh Islam dengan menjustifikasikan ianya mendatangkan pelbagai masalah kepada keluarga muslim

2. Mengatakan Murtad bukan Jenayah dan menolak hukuman bunuh keatas Murtad sebagaimana ketetapan syariah.

3. Mengatakan Undang-undang Islam di Malaysia mengamalkan diskriminasi dan gagal melindungi wanita

4. Menolak hukum mewajibkan pemakaian tudung kepala kepada wanita Islam

5. Mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Justeru, ramai yang berpendapat kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan ini yang terus-terusan mentafsirkan Islam dengan logik akal, sehingga ada yang memberikan pandangan pendokongnya mesti di hukum dibawah Kanun Kesiksaan kerana menfitnah Islam secara jenayah (criminal defamation).

Beberapa Fakta Tentang Perang Anti-British

1. Secara ringkas, negara “merdeka” bermaksud negara yang tidak dijajah atau terlepas daripada sebarang bentuk penjajahan. Negara merdeka adalah negara yang “berdaulat”.

2. Daripada tafsiran di atas, dapat disimpulkan bahawa kedaulatan tanah Melayu atau sebahagian daripadanya telah dinodai semenjak 1511.

3. Selama hampir 450 tahun, kaum penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun dengan biadapnya telah merompak kekayaan bumi kita serta menghina maruah penduduk-penduduk tempatan.

4. Setiap penindasan atau pencerobohan pasti ada perlawanan. Namun begitu, ada juga yang memilih untuk bersyubahat dengan pihak yang menceroboh!

5. Inilah dua tradisi dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air kita – yang satu menentang, dan yang satu lagi rela bekerjasama atau menjadi alat musuh.

6. Peristiwa-peristiwa seperti Perang Hang Nadim, Perang Raja Haji, Perang Naning, Perang Mahadi, Perang Maharajalela, Perang Bahaman, Perang Tok Janggut, Perang Haji Abdul Rahman dan lain2 adalah perang-perang patriotik melawan penjajahan.

7. Semangat perjuangan dan patriotisme tersebut telah diwarisi oleh Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) pimpinan PKM dalam masa perang melawan Jepun.

8. Setelah Jepun dikalahkan, penjajah Inggeris bertapak semula di Tanah Melayu.

9. Seiring dengan kebangkitan nasionalisma di seluruh benua Asia, golongan-golongan patriotik dan demokratik rakyat luas Malaya telah menggembeling tenaga. Demikian terbentuknya gabungan PUTERA-AMCJA pada tahun 1947 menentang kolonial British.

10. Jun 1948, dalam usahanya menindas gerakan kemerdekaan, pihak berkuasa British telah mengisytiharkan “darurat’.

11. Kecuali UMNO yang dipupuk dan memihak kepada British, semua pertubuhan2 politik yang lain termasuk PKM dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah diharamkan.

12. Ratusan, malahan ribuan pemimpin2 kiri telah ditangkap dan dipenjarakan, ada yang dibuang negeri dan ada yang dihukum gantung sampai mati.

13. Berhadapan dengan white terror itu, PKM telah mengambil strategi untuk melancarkan perjuangan bersenjata anti-British. Perang inilah yang berlarut-larutan selama 41 tahun sebelum ianya tamat pada 2 Disember, 1989.

14. Ada orang bertanya: Mengapakah perang anti-British itu diteruskan setelah Malaya “merdeka” pada tahun 1957?

15. Mungkin mereka akan faham setelah memahami fakta di bawah ini:

• Inggeris telah memastikan supaya pilihan mereka iaitu Tan Sri Sir Claude Fenner menjadi Ketua Polis Malaysia “merdeka” yang pertama (1958 -1968);(gambar: Sir Claude Fenner)
• Sebelum itu, Fenner bertugas sebagai Pemangku Timbalan Setiausaha Keselamatan dan Perisikan di Jabatan Perdana Menteri Malaysia “merdeka”;
• Pada tahun 1955, beliau memegang jawatan Ketua Polis di Johor;
• Dalam masa melawan MPAJA (tahun 1945), warganegara British berpangkat Leftenan Kolonel itu bertugas dengan Pentadbiran Tentera British ("British Military Administration").

16. Masih ada lagi fakta yang menunjukkan betapa “berdaulat” dan “merdeka”nya Malaya selepas 31 Ogos 1957:
• Tunku menandatangani ‘Persetujuan Pertahanan Anglo-Malaya’ (AMDA – 1957) dengan British;
• Perjanjian ini membenarkan askar2 Komanwel bertapak dan beroperasi di bumi Malaya yang “merdeka”;
• Selepas 1972, AMDA diganti dengan ‘Perjanjian Pertahanan Lima Negara’ terdiri daripada Malaysia, Britain, Australia, New Zealand dan Singapura;
• Dalam masa yang panjang, tentera-tentera asing masih boleh kekal di bumi “merdeka” ini;
• Pangkalan tentera udara Australia di Butterworth adalah contoh.

17. Apakah British begitu prihatin dan baik hati terhadap masa depan bekas tanah jajahan yang mereka nodai selama ratusan tahun?

18. Watak sebenar kaum penjajah adalah untuk menceroboh, menindas dan memeras. Dari segi ekonomi, mereka telah memunggah segala kekayaan negeri ini melalui pemilikan dan penguasaan ke atas perusahaan2 besar seperti ladang-ladang getah, lombong bijih timah, “agency houses” dan sebagainya.

19. Jadi, apa muslihat Inggeris mengekalkan pegawai polis dan tenteranya selepas Malaya diisytiharkan “merdeka”?
Jawabnya: untuk terus melindungi syarikat-syarikat Dunlop, Socfin, Harrison Crosfield, Sime Darby dan lain-lain yang menjadi punca kekayaan besar mereka.

20. Inggeris menggunkan cara penjajahan bentuk baru atau “neo-kolonial” ini sebagai tipu muslihat mereka untuk terus berkuasa?
Ya, sebab itulah pejuang-pejuang seperti Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dll. tidak pernah menerima hakikat kemerdekaan “setengah masak” ini.

21. Apakah itu juga menjadi sebab perang anti-British diteruskan selepas 1957?
Jawabnya: Ya!


Jumaat, 5 Jun 2009

Melayu Telah Berubah, Utusan Belum…

Posted by: myzaidibrahim on: June 1, 2009
Bagi kebanyakan orang, Ahad adalah hari untuk rehat kerana ia hari cuti. Malangnya Mingguan Malaysia semalam (31 Mei 2009) tidak membolehkan saya rehat dan merasa tenang. Malahan tulisan-tulisan dalam akhbar itu menimbulkan rasa kecewa, mengingatkan saya betapa jauhnya akhbar Melayu ini dari realiti sebenar kehidupan di Malaysia serta besar jurang pendirian akhbar itu dengan pemikiran orang Melayu masa ini. Mungkin inilah menyebabkan Utusan semakin hari semakin kurang orang membacanya.Tema dan asas cerita utamanya adalah perkauman, perkauman dan perkauman.
Saya sebenarnya sudah malas baca tapi bila melihat tajuk “Melayu dikhianati?” tulisan ideolog utamanya Awang Selamat, saya paksa diri untuk tahu lebih lanjut. Kata Awang Selamat, semakin hari semakin teruk hatinya ditoreh oleh tuntutan kaum bukan Melayu yang dakwanya berbau rasis yanag berkemuncak sekarang ini dan bermula sejak keputusan pilihanraya yang lepas. Wah! Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia mestilah menjaga hati Awang Selamat sebelum membuat apa-apa tuntutan kerana bila hati Awang Selamat tertoreh, maka hati UMNO pun tertoreh; dan bila hati UMNO tertoreh maka hati Melayu pun tertoreh. Begitulah agaknya logik Awang Selamat.
Dia tidak sedikit pun mengulas apa yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang bukan Melayu itu. Apakah yang “kerterlaluan” itu? Kalau pun mereka bertanya soal biasiswa atau pembahagian tanah atau peluang kerja; tak bolehkah dijawab secara rasional dan berpandukan fakta. Mengapa mudah benar tertoreh hati? Apakah segala tuntutan orang bukan Melayu itu (yang ada hak di bawah Perlembagaan) tidak wajar dan tidak berasas? Mengikut Awang Selamat begitulah agaknya kerana 50 tahun dahulu UMNO dan Melayu telah “bermurah hati” memberi kerakyatan kepada nenek moyang mereka semasa Merdeka. Jadi kerana kerakyatan itu diberi atas ehsan dan besar hati UMNO maka anak cucu mereka tidak sama sekali boleh MEMBUAT APA-APA TUNTUTAN kerana mereka mesti sentiasa dan selama-lamanya mengenang budi kemurahan hati UMNO.
Pemikiran seperti inilah yang saya maksudkan sudah tidak laku dan ditolak oleh rakyat semua. Bila rakyat meminta sesuatu walau pun dari Melayu, Cina atau India, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (dan akhbar yang bertanggung jawab menilainya) untuk cuba menunaikan permintaan tersebut. Kalau keterlaluan, terangkan saja mengapa tapi jangan ungkit sejarah untuk menutup kekurangan kita. Janganlah sentiasa naik marah dan mengugut dan memberi serpihan sejarah yang tidak lengkap untuk membuat modal politik.
Kita mendapat kemerdekaan kerana British telah bersetuju dengan pihak Perikatan dalam hal syarat-syarat kemerdekaan tersebut. Bila kita bersetuju, kita hormatilah perjanjian tersebut. Usahlah nak ungkit bahawa kita bermurah hati memberi kerakyatan yang mudah kepada Cina dan India. Hakikatnya itulah syarat yang kita setuju. Tak ada siapa yang memaksa kita memberi kemudahan itu. Pada masa itu adalah mustahil untuk British melepaskan Malaya pada tahun 1957 jika soal kewarganegaraan kaum Cina dan India tidak selesai. Sejak Gerald Templer dihantar ke sini oleh Winston Churchill pada tahun 1952, semua pihak berusaha mencari jalan ke arah memerdekakan Malaya tetapi dengan syarat yang perlu diselesaikan ialah penerimaan kaum Cina dan India sebagai warganegara. Kerajaan British tegas dalam hal ini. Dan UMNO setuju dengan syarat ini. Itulah harga kemerdekaan yang Perikatan faham dam menerima dengan hati terbuka. Apakah Utusan ada fakta sejarah yang berbeza?Tapi katakanlah kita terima pandangan kononnya UMNO telah “bermurah hati “tentang kerakyatan kepada mereka yang menjadi warganegara lebih 50 tahun dahulu; adakah Awang Selamat mengharapkan cucu cicit mereka sekarang ini tidak langsung boleh bersuara tentang hak mereka? Adakah mereka perlu diam kerana tok nenek mereka dulu kononnya telah mendapat ehsan dari UMNO? Pemikiran feudal ini tidak ada tempat dalam sabuah Negara moden yang menghormati hak rakyat nya sendiri.
Satu lagi rencana ialah tulisan pengarang kanan Zulkiflee Bakar yang memberi nasihat kapada pembaca Utusan supaya jangan buta sejarah. Agaknya Melayu macam saya ini dianggap buta sejarah. Sebenarnya soal sejarah tidak sukar dipelajari dan saya memang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah. Tetapi orang yang paling malang dan kita kasihan ialah orang yang buta hati. Bila hati kita buta, tidak ada fakta dan ilmu yang dapat mengisi kekosongan dalam diri kita. Akhbar Utusan dan Mingguan sepatutnya membantu Perdana Menteri meneroka paradigma baru seperti dalam mencari erti 1 Malaysia yang sebenar (perkataanya pun ialah Malaysia; bukan mana-mana kaum tertentu). Akhbar ini sepatutnya membantu Perdana Menteri mencari jalan membangunkan ekonomi dengan pendekatan dan dasar yang lebih pragmatik dan adil. Akhbar sepatutnya mencadangkan cara yang pragtik dan progresif untuk membantu PM bukan menjadi pelobi ideologi yang usang .
Tapi Utusan masih mahukan gurindam perkauman. Bagi Utusan, Melayu gagal kerana orang Cina, kerana orang India. Sedarlah Utusan, orang bukan Melayu dan Melayu sendiri pun sudah dapat membezakan antara Melayu dan UMNO, tahu bahawa bila dasar UMNO dikritik, ia bukan mencabar Melayu tetapi mencabar UMNO. Usaha nak lagakan Melayu dan Cina kian hebat di usahakan tetapi percaya lah api perkauman tidak mungkin dapat menyala saperti dahulu.. Usahlah mudah tertoreh hati bila sesuatu dasar UMNO dikritik dan dipersoalkan. Orang Melayu telah banyak berubah minda dan kefahaman mereka tentang Malaysia dan masa depan mereka; mereka tahu perbezaan itu. Mereka tahu apa yang menanti dalam dunia yang penuh mencabar ini. Dan apa perubahan yang perlu mereka lakukan.Cuma Utusan belum sedar perubahan ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech