Selamat Datang ke Blog Matatech

Sabtu, 30 Mei 2009

Tentera Thai tidak bersalah

SONGKHLA 29 Mei - Hampir lima tahun selepas insiden Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam dan dilihat sebagai satu daripada pencetus konflik di Selatan Thai, sebuah mahkamah Thai hari ini memutuskan bahawa tiada sebarang salah laku di pihak pegawai keselamatan.
Panel dua anggota dalam inkues post-mortem membuat kesimpulan bahawa pegawai tentera dan polis bertindak mengikut undang-undang, menggunakan pertimbangan mereka untuk menangani keadaan yang mendesak dan melakukan yang terbaik berdasarkan situasi ketika itu.
Hakim Yingyut Tanor-Rachin, yang bersidang bersama Hakim Jutarath Santisevee, berkata para pegawai hanya menjalankan tugas mereka dan mempunyai alasan kukuh bagi mengangkut lebih 1,000 penunjuk perasaan yang ditahan dari Tak Bai di sempadan Thai-Malaysia ke Kem Tentera Ingkayuthaborihaan di Pattani pada 25 Oktober, 2004.
Insiden itu berlaku ketika lebih 1,500 orang menyertai tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu kepada polis membabitkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, manakala peluru hidup ditembak ke udara dan ke arah orang ramai bagi menyuraikan tunjuk perasan itu yang mengakibatkan tujuh orang terbunuh.
Kira-kira 1,292 orang ditahan oleh pihak berkuasa. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC), mereka yang ditahan itu dipukul dengan belantan, ditendang dan ditumbuk, ada antaranya diperlakukan begitu semasa terbaring di atas tanah dengan tangan diikat ke belakang.
Tahanan itu kemudiannya dimuatkan ke dalam trak serta diletak bertindih-tindih sebelum dipindahkan ke Kem Ingkayuthaborihaan, dalam perjalanan yang mengambil masa beberapa jam. Sejumlah 78 orang ditemui mati dalam trak itu dalam kejadian yang berlaku dalam bulan Ramadan.
Banyak pertubuhan tempatan dan badan hak asasi manusia menyalahkan peningkatan keganasan dalam insiden Tak Bai, selain insiden yang berlaku pada April 2004, apabila 32 kumpulan disyaki pemberontak terbunuh selepas pihak berkuasa menyerbu masjid Krue Se yang berusia 300 tahun di Pattani berikutan perbalahan selama sembilan jam.
Ketika membacakan keputusan itu di Mahkamah Wilayah Songkhla yang penuh sesak, Hakim Yingyut berkata, pegawai keselamatan terpaksa mengambil tindakan pantas untuk memindahkan tahanan dalam keadaan seperti itu ke Pattani atas sebab keselamatan memandangkan lokasi tunjuk perasaan itu tidak jauh dari Thaksin Ratchaniwet Palace dan sempadan Malaysia.
Keputusan itu sukar diterima oleh kalangan keluarga mangsa yang melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer untuk ke mahkamah.
Zainah Saleme, yang menubuhkan sebuah kumpulan wanita bagi memperjuangkan keadilan untuk mangsa Tak Bai berkata, beliau berasa amat kecewa dengan keputusan itu.
"Tak timbang langsung keadaan mangsa, perasaan keluarga. Mahkamah kata mereka (78) mati bukan kena bedil... tapi mereka diletak bertindih-tindih. Langsung tidak fikir nyawa mereka," kata Zainah yang anak lelakinya ditahan dua tahun kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
Hamiah Ahmad, 53, berkata, beliau amat sedih kerana tidak langsung ada keadilan pada mangsa-mangsa dan keluarga mereka yang terpaksa berulang-alik ke mahkamah sejak kes itu bermula beberapa tahun lepas.
"Anak saya kebetulan berada di situ tetapi terkena tembakan dan mati," kata Hamiah yang mendapat upah membuat tudung untuk dijual di Malaysia dan mendapat pampasan RM2,000 (20,000 baht) daripada kerajaan.
Muhammad Hassan, 50, yang kehilangan satu-satunya anak lelaki beliau yang meninggal dunia selepas diletak bertindih-tindih dalam lori, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu.
"Anak saya bekerja baiki rumah dan memang selalu keluar kampung... saya langsung tidak tahu dia pergi Tak Bai. Apabila dia tidak pulang untuk berbuka puasa dan melihat di televisyen tentang Tak Bai, kami pergi ke balai polis untuk cari dia," katanya.
Kerajaan Thai sebelum ini yang dipimpin Perdana Menteri yang dilantik oleh tentera, Surayud Chulanont membayar pampasan berjumlah 42 juta baht (RM4.2 juta) kepada anggota keluarga mangsa Tak Bai, menggugurkan pertuduhan terhadap 56 orang yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu dan memohon maaf kerana tragedi yang berlaku itu. - Bernama

Hujjah TV9

YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Pejabat Menteri Pertahanan
Kementerian Pertahanan Malaysia
Tingkat 5, Wisma Pertahanan
Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur Fax: 03: 26985372



YB Dato’ Seri,

PENYERTAAN DALAM RANCANGAN ‘HUJJAH’ DI TV9 PADA 26HB MEI 2009 JAM 9.30 MALAM

Sukacita saya menarik perhatian YB Dato’ Seri kepada perkara di atas. Saya telah dimaklumkan oleh pihak TV9 bahawa YB Dato’ Seri telah membuat keputusan untuk membatalkan penyertaan YB Dato Seri di dalam rancangan tersebut pada saat-saat akhir oleh kerana sebab-sebab yang tertentu. Pada asalnya, saya dijadualkan akan menjadi ahli panel di dalam rancangan tersebut bersama-sama dengan YB Dato’ Seri, dengan Prof Madya Dr Agus sebagai moderator dalam rancangan tersebut pada malam ini 26hb Mei 2009 jam 9.30 malam. Saya merasakan bahawa tajuk yang akan dibincangkan mengenai ‘Politik Wang’ adalah merupakan suatu tajuk yang amat mustahak dan relevan dengan situasi sekarang, dan rakyat secara keseluruhannya amat ternanti-nanti untuk mendengar buah fikiran YB Dato’ Seri dan juga saya sebagai wakil dari PAS, untuk menangani permasalahan politik wang ini. Oleh yang demikian, saya memandang berat keputusan YB Dato’ Seri untuk membatalkan kehadiran di dalam rancangan ‘Hujjah’ pada malam ini. Saya memohon agar YB Dato’ Seri dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut supaya saya dan YB Dato’ Seri dapat sama-sama mengupas dan berbincang mengenai politik wang di dalam rancangan ‘Hujjah’ pada malam ini. Sukacita saya memberikan tempoh sehingga jam 7.30 malam ini untuk pihak YB Dato’ Seri memberikan pengesahan untuk hadir dan ikut serta di dalam rancangan tersebut pada malam ini. Di atas kesudian dan kerjasama YB Dato’ Seri itu, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

YANG BENAR,

Husam Haji Musa

Jumaat, 29 Mei 2009

Di antara Chin Peng, Komunisme dan Perkauman

Meninjau tindakan pihak polis terhadap orang ramai beberapa bulan kebelakangan ini, saya tidak terkejut kalau ada kedengaran rintihan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah Negara Polis (’Polis State’). Antara ciri-ciri sebuah ‘Police State’ ialah apabila polis menjadi satu kuasa pengawalan yang ditakuti. Polis mula menyekat kegiatan serta kebebasan orang ramai bersuara, yang merupakan amalan biasa di sesebuah negara bebas dan demokratik. Kita dapat lihat bahawa pasukan polis lebih ditakuti dan bukan dihormati. Bloggers seperti saya juga turut berada dalam pemerhatian mereka. Undang-undang yang digunakan mereka telah menyekat kebebasan rakyat. Di dalam sebuah ‘Police State’, Polis boleh mengambil tindakan atas apa sahaja yang ditafsir atau dianggap berbahaya kapada kerajaan. Ini membolehkan mereka menyekat apa sahaja kegiatan orang awam yang dianggap menjejaskan kententeraman awam. Hari ini rakyat ditangkap kerana memakai baju warna hitam, menjual CD, tidak mahu makan, berkumpul secara aman dan sebagainya.

Rakyat ingin tahu mengapa Menteri yang bertanggungjawab terus-terusan membiarkan polis bertindak sedemikian? Besar kemungkinan Menteri juga sudah tidak mampu atau mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pihak polis. Mungkinkah Ketua Polis Negara lebih berkuasa dari Menteri? Saya masih lagi ingat tentang soal penubuhan IPCMC yang dicadangkan oleh Pak Lah dahulu. IPCMC merupakan satu cadagan baik pada tahun 2004 supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat penyalahgunaan kuasa, kepincangan etika dan amalan rasuah yang sering berlaku dalam pasukan polis negara. Cadangan ini merupakan saranan Tun Dzaiddin dan Tun Haniff serta ahli-ahli lain Suruhanjaya DiRaja pada masa itu. Menurut laporan mereka terdapat banyak kepincangan dan kelemahan polis yang ketara. Walaupun Pak Lah berniat baik untuk menubuhkan IPCMC dan merealisasikan saranan Tun Dzaiddin ini, pihak polis telah menolaknya secara terbuka. Saya tidak fikir dalam sebuah negara demokrasi lain seperti Australia atau India, pihak polis mereka berani menentang secara terbuka akan dasar yang diusulkan oleh seorang Perdana Menteri. Namun di Malaysia, begitulah berkuasanya seorang Ketua Polis Negara.

Saya juga teringat tentang kuasa polis dalam isu dadah. Parlimen telah lama menggubal rang undang-undang khas untuk penubuhan Agensi Dadah Kebangsaan. Menurut undang-undang ini, segala isu mengenai dadah, sama ada kawalan siasatan dan rehabilitasi adalah tanggungjawab dan di bawah kuasa agensi ini. Ini sebenarnya telah diamalkan di negara Filipina dan Amerika Syarikat. Peruntukan berjuta-juta ringgit telah disediakan untuk menggerakkan agensi dengan kakitangan yang cukup. Namun sehingga hari ini, polis masih juga bertanggungjawab dan berkuasa dalam hal ‘prevention enforcement’ dan siasatan kes dadah. Mereka akan membuat keputusan mengenai segala aspek kes dadah dan bukannya Agensi Dadah Kebangsaan. Kononnya agensi yang baru ditubuhkan itu tidak mempunyai pengalaman menjalankan tugas-tugas tersebut. Begitulah berkuasanya Polis DiRaja Malaysia sehinggakan Parlimen atau Perdana Menteri tidak boleh menukar apa sahaja yang mereka tidak restui.Parlimen sebenarnya memberi kuasa yang luas kepada polis di bawah the Police Act 1967. Maklumlah kita sebuah negara yang masih di bawah pengisytiharan darurat. Kita juga mempunyai sejarah hitam seperti peperangan dengan komunis dan peristiwa 13 Mei. Kuasa luas yang diberikan itu perlu dilaksanakan secara sederhana dan penuh bijaksana mengikut keadaan politik dan keperluan semasa. Contohnya, walaupun undang-undang memerlukan rakyat memohon permit polis apabila mengadakan perhimpunan lebih dari 4 orang, tetapi wajarkah kita mengikut peraturan ini jika perhimpunan mereka itu tidak membahayakan masyarakat? Jika mereka mahu pakai baju hitam dalam perhimpunan itu juga saya rasa tidak berbahaya dan tidak perlu ditangkap. Tetapi begitulah hakikatnya Malaysia pada hari ini. Wakil-wakil rakyat dan penyokong-penyokong mereka ditangkap semata mata berhimpun secara aman dan memasang lilin. Mereka juga ditangkap kerana mereka mahu berlapar selama 3 hari. Ini semua berlaku kerana dalam sebuah ‘Police State, sesetengah kumpulan orang awam dianggap musuh kapada pihak polis. Apabila musuh berkumpul maka tindakan menangkap mereka akan dilakukan. Namun jika yang berhimpun itu bukan musuh dan tidak mempunyai permit, ia dibenarkan tanpa tangkapan. Malang sekali nasib Malaysia. Polis sepatutnya tidak memihak kepada sesiapa dan tidak ada musuh dari kalangan rakyat.. Polis perlu bertindak secara professional dan adil dalam menjaga keamanan negara. Bukan menjaga Barisan Nasional sahaja.

Polis tidak perlu terlalu mendengar pandangan orang-orang politik. Menurut Rais Yatim dan Ahmad Zahid Hamidi, ada pula musuh baru sekarang ini. Kumpulan yang mahu hidupkan komunisme. Agaknya Pak Menteri membuat kesimpulan begitu kerana ada segelintir orang Cina yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini. Ramai orang bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu kembali dan mati ditanah Malaya. Ini tidak bererti mereka ini mahu hidupkan Komunisme. Jauh bezanya antara mahu menghidupkan Komunisme dengan rasa kemanusiaan yang membenarkan Chin Peng pulang. Lagipun ramai peguam , di antaranya dari International Bar Association berpendapat Chin Peng ada hak untuk pulang ke tempat lahirnya. Cuma mahkamah kita tidak bersetuju dengan hujah tersebut kerana Chin Peng tidak mempunyai sijil kelahiran. Saya tidak pasti jika Malaya pada waktu itu memberi kemudahan pendaftaran kelahiran anak, terutama sekali di Baling, Kedah.

Berbalik semula kepada isu kononnya terdapat minat orang ramai kepada Komunisme seperti yang disebut oleh Pak Menteri. Orang-orang Cina di Negara China pun telah menjadi Kapitalis besar dan selesa. Mereka ini berniaga dalam ‘Free Market Capitalism’. Ini adalah sama dengan rakyat Malaysia berketurunan Cina. Mereka juga selesa dengan sistem Kapitalis di Malaysia. Tidak masuk akal jika mereka mahu bertukar kepada sistem Komunis. Jadi apakah tujuan ahli-ahli fikir UMNO dalam memperbesarkan soal Komunisme hari ini? Janganlah kita melaga-lagakan rakyat dengan mencipta musuh baru. Tidak cukupkah kita berjaya memecah-belah rakyat selama ini kerana politik?Jika ada yang bersetuju dengan cadangan supaya Chin Peng pulang ke Malaysia kerana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia, itu tidak bererti bahawa dia adalah Komunis atau mahu menghidupkan ideologi Komunis. Dia seorang rakyat Malaya. Usia Chin Peng pun sudah tua. Mustahil dia boleh membuat kekacauan lagi. Pengaruh Komunisme telah lupus. Lagipun pihak polis cekap seperti yang ada sekarang sudah tentu berupaya mengawal keselamatan negara. Saya terfikir, jika Chin Peng itu seorang Melayu, apakah pendirian dan emosi kita akan sama? Utusan Malaysia berkempen secara agresif agar Chin Peng tidak dibenarkan pulang. Sehubungan itu gambar- gambar veteran tentera keselamatan yang cedera dan kehilangan kaki dipamerkan. Memang benar, Chin Peng dan komunis berperang dengan kerajaan Malaya pada masa itu. Memang Chin Peng dan komunis kejam. Termasuklah Rashid Maidin dan Shamsiah Fakih. Dalam peperangan itu, kedua-dua pihak telah terpaksa melakukan kekejaman. Jepun juga pernah berlaku kejam kepada kita semasa zaman pemerintahannya. Lebih kejam daripada Chin Peng. Namun kita tetap memberi pelukan yang sangat rapat kepada Jepun. Kita juga memberi kontrak besar kapada syarikat milik Jepun kerana Jepun memberi pinjaman wang kepada kita. Kita tidak boleh mengubah apa yang berlaku dalam peperangan melawan British. Yang melawan British, ada komunis, ada yang berhaluan kiri (leftist) dan ada juga nasionalis .Ada bermacam-macam kumpulan. Namun mereka semua menetang British dan menuntut kemerdekaan.

Kadangkala sejarah pahit lama hanya akan diterima apabila kita membuang rasa dendam dan digantikan dengan sifat kemanusiaan. Bila kita menyimpan dendam terhadap musuh, ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Lihatlah di Afrika Selatan. Kerajaan kulit putih dan polis risik kerajaan apartheid telah membunuh dan berlaku kejam terhadapan ratusan ribu rakyat kulit hitam Afrika Selatan. Ramai yang telah hilang dan telah mati dalam penjara. Namun Nelson Mandela tidak mahu berdendam. Sebaliknya beliau menubuhkan Badan ‘Reconciliaion and Truth’. Beliau mahu kedua-dua pihak hitam dan putih bersama-sama mencari kebenaran tentang apa yang berlaku dalam zaman apartheid. Tujuannya ialah untuk mengajar rakyat supaya bermaaf-maafan dan menghentikan prejudis serta persengketaan antara kaum. Amnesty atau pelepasan dari tindakan undang-undang diberi kapada pihak pihak yang terlibat. Ini supaya mereka tidak lagi berdendam dan menghentikan kekejaman antara satu sama lain. 15 tahun dahulu di Rwanda, orang Tutsi dan Hutus berperang saudara. Kedua-duanya rakyat Rwanda. 800,000 rakyat mereka dari kedua-kedua kaum terbunuh dan dalam tempoh 8 bulan iaitu waktu kegilaan memuncak. Presiden baru telah memanggil semua kaum dan mengadakan dialog serta perbincangan tentang apa yang telah berlaku. Mereka menceritakan apa yang menyebabkan mereka benci dan membunuh satu sama lain. Mengapakah puak Tutsi tidak membenarkan Hutus memasuki perkhidmatan kerajaan? Mengapa Hutus tidak banyak mempunyai urusan perniagaan dan sebagainya? Mengapa hanya pasukan tentera Hutus yang layak menduduki jawatan tinggi. Dialog in berjalan tahun demi tahun dan telah menjadi satu penawar yang kuat dan membolehkan Negara kecil Rwanda kembali aman. Hari ini Rwanda mengamalkan sistem demokrasi yang baik dan ekonominya kukuh kerana mereka sudah tidak lagi bermusuh. Itulah kelebihan bangsa dan negara yang tahu serta mempraktikkan nilai kemaanusian. Mereka sanggup bermaafan antara satu sama lain dan bukannya sengaja mencari musuh. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Amatlah sukar bagi UMNO untuk berbuat demikian. Mahu minta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat pun mereka enggan. Masakan mereka sanggup melupakan Chin Peng? Saya harap sekalipun kerajaan tidak mahu Chin Peng kembali, janganlah sampai menuduh mereka yang bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu mati di Malaya sebagai musuh kerajaan. Biarlah rakyat bersuara dan menunjukkan pendirian mereka sendiri. Jangan terlalu mudah mengkategorikan rakyat dan menganggap golongan cina sendiri sebagai musuh. Ini semua adalah timbul dari perbezaan pendapat kerana perspektif sejarah yang rumit dan tidak banyak diketahui umum.

Najib digesa batalkan lawatan sambut ulangtahun hubungan Malaysia-China - Kamarudin Jaffar

Wan Nordin Wan Yaacob Fri May 29, 09 9:27:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak digesa membatalkan lawatan ke China minggu depan sempena sambutan 35 tahun kerjasama Malaysia-China, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar.
Ini kerana ia 'bertentangan' dengan penegasan kerajaan Malaysia yang menghalang bekas tokoh komunis, Chin Peng dari kembali semula ke Malaysia, katanya.
'Dalam satu hal Malaysia menolak komunis, tetapi dalam satu hal pula seolah meraikan kerajaan (China) yang dikuasai komunis yang pernah membiayai pergerakan Komunis di negara ini, ini semua kita tahu," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Ini amat bertentangan, dan kerajaan Malaysia harus menyelesaikan pertentangan ini dengan segera membatalkan lawatan Perdana Menteri yang dijadualkan minggu depan ke China, kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat.
Sementara itu sumber menyatakan, Wisma Putra telah mengarahkan kenyataan berhubung lawatan Najib ke China yang bermula 2 hingga 5 Jun ini tidak dilaporkan akhbar.
Baru-baru ini kerajaan menyatakan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali semula negara ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap waris mereka yang terkorban semasa darurat dahulu.
Perdana menteri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Putrajaya 27 Mei.
Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.
Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.
Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.
Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.
Bagaimanapun, saranan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Turut membantah ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee yang dilaporkan berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan.

Kabinet arah kekejaman komunis diceritakan

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kabinet mengarahkan pihak-pihak berwajib menulis semula sejarah kedurjanaan komunis dengan memperincikan pembunuhan dan jenayah yang dilakukan agar generasi sekarang memahami mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) serta pemimpinnya tidak harus diagungkan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Kabinet mahu perkara ini dilaksanakan bagi membolehkan generasi sekarang jelas serta memahami bahawa komunis merupakan musuh negara.
''Punca menyebabkan komunis dan pemimpin-pemimpinnya diagungkan oleh generasi muda sekarang kerana kekejaman mereka tidak diceritakan dengan jelas serta terperinci.
''Buku sejarah yang tertulis sejarah komunis pula hanya mencatatkan PKM diharamkan pada 1948, membunuh Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney.
''Tetapi tidak dijelaskan bahawa kumpulan itu melakukan pembunuhan bukan sahaja sebab politik tetapi juga terhadap rakyat yang tidak berdosa,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kedua Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM) yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum di Angkasapuri di sini hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pemimpin PKM, Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini dengan menyatakan kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara tahun 1948 hingga 1960.
Rais memberitahu, penulisan semula secara terperinci sejarah kekejaman komunis ini akan membolehkan generasi muda terutama di sekolah dan universiti dapat diberi pemahaman bahawa komunis adalah musuh negara.
Katanya, walaupun generasi muda mempunyai idealisme tinggi dalam hal-hal tertentu tetapi dalam soal kenegaraan terutama mengenai komunis ini tidak ada kompromi.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan memulakan tayangan filem dokumentari mengenai kekejaman komunis.
''Muzium Negara juga akan membuat pameran mengenai sejarah kekejaman komunis bagi membolehkan generasi muda menyedari mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh generasi lepas mempertahankan negara dan rakyat dari kumpulan pelampau tersebut.
''Kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya akan menggerakkan tenaga untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam perkara ini agar tidak timbul lagi gerakan atau sebarang usaha untuk mengagung- agungkan komunis dan pemimpin- pemimpin mereka,'' katanya.
Rais memberitahu, kementerian melalui Akta Komunikasi dan Multimedia juga telah memberi amaran kepada penulis blog yang membangkitkan nostalgia mengenai komunis.
Katanya, tindakan lebih keras termasuk mendakwa di mahkamah akan dilakukan sekiranya terus membangkitkan nostalgia tersebut dengan memperdayakan masyarakat memberi gambaran palsu mengenai komunis.

'Chin Peng bawa sengsara'

Raja Muda Perlis kecewa ada pihak mahu bawa musuh pulangKUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang berhasrat membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini. Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah, tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana kepulangan Chin Peng akan menyebabkan luka lama yang dialami kesan tindakan PKM berdarah kembali.

Chin Peng patut dihumban ke dalam telaga buruk

SAYA adalah bekas anggota tentera dalam TUDM. Walaupun saya tidak terlibat secara langsung dalam memerangi pengganas komunis, tetapi saya terlibat dalam pasukan sokongan taktikal udara (Tactical Air Support).
Selepas menjalani latihan asas ketenteraan, saya telah dihantar bertugas di Pangkalan TUDM Kuching pada tahun 1974 di Bahagian atau Jabatan Pergerakan Udara (Air Movement). Di Sarawak dan Sabah pada ketika itu kegiatan dan gerakan pengganas komunis masih amat aktif.
Walaupun berada di kawasan bandar Kuching dan pekan-pekan kecil di Sarawak, keadaan keselamatan dikategorikan sebagai kerincing atau kritikal terutama di kawasan pendalaman sebab itu di Bahagian Ketiga Sa terdapat gerakan keselamatan yang dikenali sebagai RASCOM (Rejang Area Security Command) yang berpusat di Sibu.
Baru dua minggu pertama saya bertugas di Kuching, Sarawak, saya telah ditugaskan untuk menerima tiga mayat anggota tentera dari pasukan 9 RAMD yang diterbangkan dengan pesawat helikopter Nuri dari Sibu akibat pertempuran dengan pengganas komunis.
Keadaan salah satu mayat dalam keadaan mengerikan dengan perutnya terburai kesan dari tembakan dan tumpukan dan lumuran darah dari kesemua jenazah.
Keadaan hiba, pilu dan sebak sebaik-baik helikopter yang membawa jenazah mendarat dengan tangisan dari waris dan keluarga jenazah berkaitan. Suasana yang amat pilu amat dirasakan pada ketika itu.
Terasa gementar segala tubuh apabila mengusung keluar jenazah-jenazah berkenaan dari pesawat Nuri tersebut. Inilah pengalaman kali pertama mengendalikan jenazah dalam keadaan yang mengerikan itu.
Selepas ketiga-tiga jenazah selamat menjalani post-mortem, mandi, dikapan dan di sembahyangkan, keranda-keranda yang mengandungi jenazah berkenaan diterbangkan ke Semenanjung Malaysia bersama balu-balu dan anak-anak arwah berkenaan untuk di kebumikan di kampung halaman masing-masing melalui 2 pesawat pesawaterbang Caribou dan Dart Herald. Selepas dari peristiwa itu, saya diberitahu oleh rakan-rakan sekerja yang telah lama bertugas di pengkalan itu, bahawa saya akan terbiasa dengan keadaan itu kerana itu hampir menjadi satu dari rutin tugas harian.
Selang beberapa minngu dari peristiwa itu, saya berhadapan dengan tugas yang sama iaitu menerima mayat-mayat anggota tentera dan pengganas komunis yang terbunuh atau yang tercedera.
Apatah lagi apabila saya ditumpangkan bertugas di barisan hadapan TUDM (front line) iaitu di Sibu Detachment, tempat pertama kasualitis samada dari anggota tentera, anggota Pasukan Polis Hutan (PFF) atau anggota komunis yang mati atau tercedera yang akan diterbangkan untuk dibawa dengan pesawat helikopter dari tempat kejadian di hutan belantara sebelum diterbangkan ke pengkalan udara di Kuching.
Dalam keadaan demikian, maka terpaksalah kita anggota-anggota TUDM yang ditugaskan sebagai Pasukan Cari dan Menyelamat (Search And Rescue) dan pasukan dari Pasukan Komando Gerak Khas turun melalui tali dari pesawat helikopter (winching) untuk membawa kasualitis dan dinaikkan ke pesawat.
Ada kalanya terpaksa bermalam di hutan disebabkan keadaan cuaca yang tidak baik, hutan yang tebal dan kesukaran untuk membawa kasualitis naik ke pesawat. Ia juga atas faktor keselamatan pesawat jika helikopter tidak dapat mendarat.
Lama kelamaan sepanjang saya bertugas di sana, ianya telah menjadi sebati dan suatu kelaziman dalam tugas rutin. Keadaan sedemikian berlanjutan sehingga tahun 1976 apabila pasukan komunis dari Pasukan Gerakan Kalimantan Utara (PGKU) yang diketuai oleh Bong Chee Kok menyerah diri kepada kerajaan dan menamatkan gerakan bersenjata. Barulah Sarawak dan Sabah kembali sedikit aman walaupun terdapat juga beberapa serangan dan tentangan dari saki baki pengganas komunis yang ingkar menyerah diri.
Namun pada Julan tahun 1976 juga negara dikejutkan dengan peristiwa di mana satu pesawat Nuri telah ditembak jatuh di kawasan hutan Gubir, Perak semasa tugas operasi memburu dan mengenal pasti kedudukan pengganas komunis. Kesemua anak kapal dan penumpang seramai tujuh orang dalam pesawat tersebut terbunuh.
Oleh kerana anggota-anggota Pasukan Penyelamat TUDM Kuantan dan TUDM Butterworth kurang kemahiran dan pengalaman untuk ditugaskan di hutan yang tebal dan kecuraman gaung di tempat nahas berlaku, maka saya dan beberapa anggota dari TUDM Kuching telah dihantar untuk melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (SAR).
Dalam nahas ini kesemua yang terlibat dalam nahas tersebut adalah pegawai dan anggota TUDM (tiga juruterbang, Kuatermaster Udara), Gunners jurutera pesawat dan aircraft technicians).
Melalui pesawat helikopter Nuri, saya bersama 9 orang anggota TUDM diturunkan dengan tali dengan berbekalkan peralatan yang sewajarnya dan sedikit bekalan makanan untuk tempoh 3 hari.
Di dalam hutan berkenaan, kami terpaksa berjalan meredah hutan belantara kira-kira 1 km dari tempat kawasan pendaratan ke tempat nahas berkenaan.
Keselamatan di sekitar kawasan tersebut telah di kawal rapi oleh pasukan Komando dari Gerak Khas yang terlebih dahulu tiba di tempat kejadian bagi memberi perlindungan dari serangan hendap dan memudahkan pergerakan kami dan seterusnya mengendalikan operasi menyelamat dan untuk membawa mayat-mayat ke pengkalan udara di TUDM Kuantan.
Kami terpaksa mendapati keadaan pesawat hancur musnah terbakar dengan serpihan bangkai pesawat helikopter berkenaan bertaburan sekitar 300-500 meter persegi, kerana pesawat berada di udara semasa di tembak, walaupun pesawat dilengkapi dengan kalis peluru.
Siasatan kemudiannya mendapati tembakan mengenai Main Rotor Shaft pesawat dengan menggunakan mortar dan peluru 2.75HE. Bagaimana pengganas komunis memperolehi senjata berkenaan tidaklah diketahui.
Kami melihat mayat-mayat di dalam rangka pesawat hangus terbakar dan terdapat bahagian-bahagian anggota mayat yang terpisah dari tubuh badan. Ini menjadikan mayat-mayat tidak dapat dikenali.
Kami menugumpulkan mayat dan cebisan anggota-anggota mayat dan memasukan ke dalam beg mayat (bag, human remain) dalam setiap satu beg secara berasingan. Kemudian, setiap beg ditandakan dari tempat lokasi dalam pesawat bagi memudahkan pengenalan mayat apabila tiba di pengkalan kelak.
Kesemua mayat diterbangkan ke pengkalan udara di TUDM Butterworth dimana dua mayat juruterbang akan diserahkan kepada waris keluarga masing-masing di Pulau Pinang dan Bukit Mertajam (satu mayat dari kaum Cina/Budha dan satu lagi mayat dari orang Melayu/Islam.
Dua mayat lagi adalah juruterbang yang ditugaskan dari TUDM Kuching terdiri dari kaum Cina (seorang beragama Budha dan seorang laigi menganut agama Bhahai. Kedua-dua mayat berkenaan diterbangkan ke TUDM Kuching untuk pengkebumian).
Manakala mayat yang lain saya tidak ingat identiti dan dan ke mana di bawa pergi.
Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah timbul kekeliruan dalam penyerahan kedua-dua mayat yang diserahkan kepada keluarga di Pulau Pinang dan Bukit Mertajam.
Apabila kami diterbangkan semula ke pengkalan udara di Butterworth sehari selepas penghantaran mayat berkenaan, kami membuat laporan mengenai tugasan yang telah dilaksanakan.
Kami terkejut besar dan menyedari bahawa terdapat salah faham yang menyebabkan berlaku pertukaran mayat selepas dimaklumkan akan kedudukan mayat-mayat semasa kami temui.
Maka pihak yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan dimana mayat dari kaum Cina/Budha diserahkan kepada keluarga Melayu/Islam dan mayat dari kaum Melayu Islam telah diserahkan kepada keluarga Cina/Budha.
Difahamkan apabila rombongan yang tiba di rumah waris keluarga Cina/Budha berkenaan, mereka sedang melakukan upacara sembahyang cara Budha dan demikian juga satu rombongan yang lain apabila tiba di rumah waris keluarga jenazah Melayu/Islam, waris dan jiran-jiran serta orang persekitaran sedang membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan Yassin bagi mendoakan jenazah berkenaan.
Bagaimanapun syukur Alhamdullilah semuanya dapat diperbetulkan dan dalam suasana yang baik.
Pertukaran mayat telah dapat disempurnakan dengan jayanya tanpa menimbulkan banyak masalah. Sementelahan pula kedua-dua mayat belum sempat dikebumikan. Ini kerana fasiliti untuk melakukan ujian DNA sebagaimana sekarang ini masih tidak ada pada ketika itu.
Demikanlah secara ringkas, mengungkap secebis kisah pengalaman semasa dalam perkhidmatan sebagai anggota tentera.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pertempuran menentang pengganas komunis, namun apabila mengimbas kembali kenangan lampau, rasa marah, sakit hati, pilu dan hiba terus menjelma di kalbu.
Hingga kini, masih tersimpan dendam membara terhadap tindakan dan kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakan-rakan seperjuangan tanpa mengira dari pasukan mana dan kaum serta anutan agama.
Ini kerana saya sendiri mengenali ramai anggota yang terdiri dari kalangan Tentera Darat dari pasukan RAMD, Renjer, Armor, Perubatan dan Peninjau semasa berkhidmat di TUDM Kuching dan menjalin persahabatan.
Maklumlah dikala berjauhan dari kampung halaman di Semenanjung, dengan sendirinya akan mudah terjalin silatulrahim yang akrab apabila bertemu dan bergaul dengan orang-orang yang berasal dari Semenanjung.
Kami menganggap mereka adalah sahabat, rakan taluan dan sebahagian dari keluarga kita sendiri. Ini adalah berkat latihan, disiplin dan kerjasama berpasukan.
Teras 'satu salah, semua kena, susah senang sama diharungi, gelak tangis sama diselubungi," menjadikan budaya kehidupan dalam tentera ibarat aur dengan tebing.
Mereka rela bergadai nyawa demi persahabatan dan ianya berterusan walaupun setelah menamatkan perkhidmatan.
Sikap dan nilai budaya yang sedemikian ini tidak dimiliki oleh penjawat-penjawat awam. Ia jauh berbeza dengan gaya hidup orang awam yang lebih kepada 'melepaskan pucuk masing-masing”.
Dikalangan anggota tentera dan keluarganya, persahabatan yang terjalin amatlah akrab dan terserlah kemesraan terutama apabila sesekali bertemu setalah sekian lama berjauhan.
Sukar digambarkan apabila berlaku perpisahan. Dimiliki oleh orang-orang awam seperti para pembaca. Ia sukar diterjemahkan dan sukar dipercayai hanya dikalangan anggota tentera dan keluaga mereka yang memahaminya.
Menyentuh mengenai hasrat bekas Ketua Pengganas Komunis Chin Peng untuk kembali menetap di Malaysia, semua anggota tentera dan anggota keselamatan membantah kepulangan beliau ke negara ini.
Sebagai warga bekas tentera, kami amat menghargai akan pendirian semua rakyat negara ini yang menyatakan pendirian yang sama dengan warga bekas tentera dan anggota tentera yang masih berkhidmat. Sokongan semua yang tidak berbelah bahagi amatlah dihargai dan disanjung tinggi.
Jika ada segelintir rakyat atau individu yang mengambil pendirian agar membenarkan Chin Peng tinggal menetap di negara ini, kami menganggap mereka itu adalah petualang negara yang buta sejarah tanah air. Pendirian sedemikian amatlah dikesali.
Ribuan anggota tentera, pasukan keselamatan dan orang-orang awam yang telah menjadi korban atau cedera dan mengalamai cacat kekal akibat keganasan pengganas komunis.
Demikian juga begitu ramainya isteri-isteri yang telah menjadi balu dan anak-anak yang kehilangan tempat pergantungan akibat tindakan zalim dan tidak berkeperimanusian pengganas komunis dan negara berada dalam keadaan dharurat untuk melebihi dari sedekad lamanya. Jika Chin Peng dibenarkan walaupun menjejak kaki di bumi Malaysia ini untuk seketika di negara ini, kami dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bertekad akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan bersedia untuk membasahi dengan darah dan keringat di bumi yang tercinta ini sekali lagi.
Kepada warga TUDM, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) ke-51 yang akan disambut pada 1 Jun 2009 ini.

Isnin, 25 Mei 2009

Pesara tentera terima pencen RM66.36

KOTA BHARU - Selepas berkhidmat selama 23 tahun sebagai anggota tentera, seorang pesara tentera semalam mendakwa menerima pencen bulanan sebanyak RM66.36 sebulan sejak enam tahun lepas. Lans Koperal (B) Wan Mohd Afandi Wan Zain, 48, berkata, beliau tidak menerima sebarang ganjaran di akhir persaraan sekalipun disahkan menghidap stress yang membawa kepada penderitaan hidup sebagai orang kurang upaya (OKU). “Sejak bersara akhir Disember 2002, saya hanya menerima pencen terbitan sebanyak RM66.36 sebulan. Wang itu dibelanjakan untuk keluarga saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau meluahkan perkara itu setelah menunggu sekian lama daripada kerajaan dan mengharapkan ada ganjaran di sebalik penderitaan hidup sebagai pesara tentera yang berkhidmat selama 23 tahun. Wan Mohd Afandi kini menumpang di sebuah rumah milik jirannya di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini bersama seorang isteri dan seorang anak, kini bekerja mengambil upah membersihkan rumah orang. “Saya mula mendaftar sebagai anggota tentera pada 11 Disember 1979, di awal perkhidmatannya saya ditempatkan di Batalion 301 Askar Wataniah di Batu 11, Tanah Merah,” katanya. Beliau kemudian dipindahkan ke Rejimen 506 Rejimen Askar Wataniah yang kini dikenali Batalion Kedua Askar Wataniah sebagai anggota berpangkat Lans Koperal dengan gaji akhir kira-kira RM1,200 sebulan. Pada akhir perkhidmatannya, beliau disahkan menghinap penyakit stress oleh Hospital Tentera Terendak, Melaka sebelum dirawat di Hospital Tentera Lumut Perak dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Beliau juga terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong dan kini terpaksa menggunakan kaki palsu. Wan Mohd Afandi dikategori sebagai OKU oleh ‘Medical Board’, iaitu jawatankuasa penilai bagi menentukan seseorang tentera itu layak menerima elaun kecederaan atau sebaliknya. “Bagaimanapun sampai sekarang saya tidak menerima sebarang pampasan dan apa elaun yang sepatutnya diterima oleh sebagai pesara tentera yang cacat,” katanya. Wan Mohd Zain beliau kini bekerja mengambil upah membersihkan kawasan rumah orang dengan pendapatan tidak menentu bagi menyara isteri dan anak. “Sekiranya rumah itu diambil oleh tuannya tidak lama lagi saya tidak tahu lagi hendak menumpang di mana, saya harap ada pihak yang membantu,” katanya. Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Mohamad Abdul Ghani yang mengulas perkara itu berharap kerajaan menilai semula pesara tentera yang dikategorikan sebagai OKU. “Saya akan bawa perkara itu ke peringkat atasan bagi menentukan statusnya memandangkan jasa dan pengorbanan anggota terbabit sama dengan pasukan lain untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.

Ahad, 24 Mei 2009

Tuntutan pesara ditimbang

PEKAN 23 Mei – Berita baik untuk pesara kerajaan. Kerajaan bersedia memperhalusi empat lagi tuntutan golongan itu untuk menjaga kebajikan mereka.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kerajaan pasti akan mempertimbangkan kesemua tuntutan tersebut.
Ini kerana, menurut beliau, kira-kira 90 peratus tuntutan yang dikemukakan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) sebelum ini diterima dan diluluskan.
Empat tuntutan bagi menjaga kebajikan 48,000 pesara kerajaan adalah:
* Pemberian wang ihsan setiap pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan;
* Pemberian pencen terbitan bagi wanita yang melangsungkan perkahwinan selepas bersara;
* Pemberian pencen RM720 sebulan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun;
* Pelantikan senator di kalangan ahli PPKM.
Perdana Menteri berkata, PPKM boleh terus mengemukakan tuntutan tersebut kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dirundingkan.
Hasil rundingan itu, kata beliau, akan diperhalusi oleh Kabinet sebelum sebarang keputusan diambil mengenai tuntutan tersebut.
‘‘Saya pasti empat tuntutan tersebut akan dipertimbangkan kerana sebelum ini kira-kira 90 peratus daripada permintaan yang dibawakan oleh PPKM diterima dan diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-15 di Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.
Kerajaan, menurut Najib, sentiasa memikirkan kebajikan golongan pesara supaya kehidupan mereka sentiasa terbela selepas menamatkan perkhidmatan.
Dalam pada itu, katanya, sumbangan golongan pesara kepada negara dan masyarakat tidak terhenti meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan.
‘‘Walaupun telah tamat perkhidmatan, tidak semestinya jasa dan bakti mereka kepada bangsa, agama dan negara sampai ke penghujungnya.
‘‘Saya masih menganggap setiap pesara boleh mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat dengan apa juga cara mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Ini kerana, kata Perdana Menteri, ada pesara yang mempunyai kemampuan luar biasa seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih cergas dari segi minda dan fizikal walaupun umurnya mencecah 85 tahun.
‘‘Kemampuan ini lahir daripada bagaimana cara kita menguruskan diri walaupun selepas tempoh persaraan.
‘‘Oleh itu, setiap pesara harus sentiasa menjaga kesihatan diri agar dapat membentuk kecergasan fizikal dan menyuburkan minda,” ujarnya.
Tambahnya, setiap kakitangan kerajaan mungkin boleh mencapai umur persaraan sehingga 60 tahun jika mempunyai badan dan minda yang sentiasa sihat dan cergas.
Sementara itu Yang Dipertua PPKM, Datuk Abdul Ghani Sulaiman berkata, pihak persatuan tidak menetapkan jumlah wang ihsan yang juga boleh disebut sebagai ‘bonus’ kepada pesara.
‘‘Jika kakitangan kerajaan mendapat habuan dalam bentuk bonus, maka pesara kerajaan juga tidak boleh dikecualikan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurut Abdul Ghani, beliau yang mewakili Yang Dipertua PPKM kebangsaan, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berharap empat tuntutan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri.
‘‘Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana selama ini begitu prihatin mengenai setiap isu yang diperjuangkan oleh PPKM,” katanya.

Merah Kuning rampas persada Liga Super

Singa Utara gagal pertahan posisi selepas tewas di Kangar PENGUASAAN Perlis di persada Liga Super akhirnya terungkai ekoran kekalahan di gelanggang sendiri ketika pesaing utama, Selangor, bergembira di Shah Alam, malam tadi. Di Stadium Utama, jaringan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-74 membolehkan Terengganu menggamamkan lawan apabila gerakan solonya dari tengah terus ke kawasan penalti sebelum disudahkan dengan rembatan ke sasaran. Ketika Perlis meningkatkan usaha menyerang buat mencari gol penyamaan, kealpaan benteng dihukum gol Abdul Manaf Mamat pada penghujung masa kecederaan untuk Terengganu pulang membawa kemenangan 2-0.
Perlis kini kekal dengan 38 mata, dipintas Selangor yang memiliki 40 mata selepas bangkit menundukkan Kedah hasil kejayaan 3-1 di Stadium Shah Alam. Kedah bagaimanapun lebih awal mendahului menerusi jaringan Fauzi Shaari pada penghujung babak pertama sebelum Amri Yahyah mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-56. Rudie Ramli kemudiannya menjelmakan gol pendahuluan Selangor pada minit ke-67 sebelum Amirulhadi Zainal melengkapkan kemenangan menerusi jaringan ketiga, tiga minit sebelum tamat.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan membelasah Pulau Pinang 5-1 untuk memintas Kedah di tangga ketiga. Johor FC turut menang besar, 4-0 mengatasi Pahang ketika KL Plus membenam Kelantan 2-0. Di Stadium Darulaman, KM Naza berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak ketika pertembungan UPB MyTeam dan Polis di Stadium Petaling Jaya, berakhir seri tanpa jaringan.

Khamis, 21 Mei 2009

JHEV ATM

MAJLIS PENYAMPAIAN PINGAT JASA MALAYSIA DAN SUMBANGAN BANTUAN
Cetak E-mail

 Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia dan Sumbangan Bantuan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) bertempat di Dewan Patriot, Menara TH Perdana Kuala Lumpur pada 7 Mei 2009 (Khamis).

Seramai 14 orang Veteran ATM yang telah berkhidmat menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) telah menerima Pingat Jasa Malaysia pada majlis tersebut. Turut hadir ialah Ketua Pengarah JHEV, Mej Jen Dato' Zulkiflee bin Mazlan.

Rabu, 20 Mei 2009

MAKLUMAN - PELARASAN PENCEN
Laman Web ini banyak menerima pertanyaan(FAQ) mengenai pencen sepertimana yang dibentang didalam bajet 2009 yang lalu. Untuk makluman, secara amnya kenaikan pencen untuk pesara tentera adalah kerana diselaras semula formula pengiraan pencen dan hanya TERHAD kepada penerima pencen seperti berikut:
1.) Pegawai - Berkhidmat melebihi 25 tahun, pengiraan pencen mengikut bulan perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun perkhidmatan(bagi perkhidmatan melebihi 30 tahun, pengiraan pencen adalah 3/5 daripada gaji akhir bersamaan). Bagi pegawai yang berkhidmat kurang dari 25 tahun adalah tidak terlibat.
Formula pengiraan : 1/600 x bulan berkhidmat yang diakui x gaji akhir bersamaan
2.) Lain Lain Pangkat - berkhidmat melebihi 21 tahun, pengiraan pencen mengikut bulan perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun 2 bulan (bagi perkhidmatan melebihi 25 tahun 2 bulan, pengiraan pencen adalah 3/5 daripada gaji akhir bersamaan). Bagi Lain-Lain Pangkat yang perkhidmatannya hanya 21 tahun sahaja adalah tidak terlibat.
Formula pengiraan : 1/504 x bulan berkhidmat yang diakui x gaji akhir bersamaan
3.) Penerima Pencen kurang dari RM720 akan dinaikkan ke RM720 dengan syarat perkhidmatan minimum 25 tahun bagi pegawai dan 21 tahun bagi LLP.
Diharap dengan makluman ini dapat memberi kefahaman tentang pelarasan pencen seperti yang dimaklum dalam bajet 2009 yang lalu.

Menteri Pertahanan Ziarah Keluarga Allahyarham Mej Mohd Shafie

Kuala Lumpur – 3 Mei 09. Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Mejar Mohd Shafie Mamat TUDM yang telah meninggal dunia semasa bertugas di Congo. Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid turut diiringi Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Azizan Bin Ariffin, Panglima Markas Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Allatif bin Mohd Noor serta Pegawai- pegawai Kanan ATM dan TUDM. Jen Tan Sri Dato’ Sri Azizan turut menyampaikan sumbangan wang kebajikan kepada keluarga arwah. Allahyarham Mej Mohd Shafie meninggalkan seorang balu dan 6 orang anak.

Pecen ilat

Saya adalah seorang pesara tentera yang telah tamat perkhidmatan penuh (compulsory) pada tahun 2003. Namun pada pertengahan tahun 2002 saya telah terlibat dalam satu kemalangan semasa ketempat kerja. Dalam kemalangan tersebut kecederaan yang saya alami adalah patah tulang tangan dan kaki sebelah kiri. Akibat kemalangan saya terpaksa dibedah sebanyak 2 kali bagi memasukan besi dan membuang tulang yang telah pecah akibat hentakan. Setelah bersara saya menunggu samada saya layak menerima pencen ilat akibat kemalangan yang saya hadapi. Namun pada tahun 2004 saya menerima jawapan dari pihak berkenaan bahawa saya tidak layak menerima pecen ilat kerana bukan dalam tugas. Saya telah pun membuat rayuan namun jawapan yang diterima dari pihak berkenaan adalah belainan. Pegawai tersebut menyatakan bahawa penolakan tersebut adalah tidak berkaitan dengan kemalangan tetapi berkaitan dengan darah tinggi.Ini menunjukan tiada seorang pun pegawai atasan saya mengambil berat tentang kemalangan yang saya hadapi sehingga laporan tidak sampai kepihak berkenaan bagi membantu saya. Apa yang saya kesali adalah setelah 22 tahun saya berkhidmat berkorban untuk negara tanpa rasa susah dan payah mengharungi segala dugaan telah disambut dengan begitu hina sekali. Adakah kecederaan yang saya alami ini perkara biasa kepada seorang tentera sehingga ianya tidak perlu dituntut dan dijaga kebajikannya. Dan seperkara lagi yang hendak saya tanyakan ialah apakah faedahnya mencarum didalam insuran kelompok yang tujuannya apabila saorang anggota itu menerima kemalangan mereka sepatutnya mendapat imbuhan. Ini kerana apa yang berlaku kepada saya ianya tidak menjadi realiti. Saya tidak langsung mendapat satu senpun daripada insuran tersebut. Persoalannya apakah saya tidak layak untuk dikatogorikan sebagai cacat dan adakah saya betul-betul sihat, jesteru tiada lansung implikasi akibat kemalangan tersebut kepada saya pada masa akan datang, oleh dengan itu saya tidak perlu diberi pencen ilat, dan juga insuran kelompok itu tidak layak bagi saya. Persara tentera daripada LLP hanya berkidmat dalam jangkawan umur 40 hinnga 45 tahun sahaja, ianya tidak seperti diperkhidmatan awam mereka bekerja dalam jangkawan umur 55 hingga 58 tahun, begitu juga bagi pegawai-pegawai tentera. Pendapatan pekerja pekhidmatan awam dan pegawai-pegawai tentera lebih terjamin daripada LLP didalm tentera, dengan itu diharap kebajikan kami ini setidak-tidaknya perlulah dijaga. Bukannya lontaran penghinaan diberikan kepada kami setelah bermatian mempertahankan kedaulatan negara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech