Selamat Datang ke Blog Matatech

Jumaat, 5 Jun 2009

Melayu Telah Berubah, Utusan Belum…

Posted by: myzaidibrahim on: June 1, 2009
Bagi kebanyakan orang, Ahad adalah hari untuk rehat kerana ia hari cuti. Malangnya Mingguan Malaysia semalam (31 Mei 2009) tidak membolehkan saya rehat dan merasa tenang. Malahan tulisan-tulisan dalam akhbar itu menimbulkan rasa kecewa, mengingatkan saya betapa jauhnya akhbar Melayu ini dari realiti sebenar kehidupan di Malaysia serta besar jurang pendirian akhbar itu dengan pemikiran orang Melayu masa ini. Mungkin inilah menyebabkan Utusan semakin hari semakin kurang orang membacanya.Tema dan asas cerita utamanya adalah perkauman, perkauman dan perkauman.
Saya sebenarnya sudah malas baca tapi bila melihat tajuk “Melayu dikhianati?” tulisan ideolog utamanya Awang Selamat, saya paksa diri untuk tahu lebih lanjut. Kata Awang Selamat, semakin hari semakin teruk hatinya ditoreh oleh tuntutan kaum bukan Melayu yang dakwanya berbau rasis yanag berkemuncak sekarang ini dan bermula sejak keputusan pilihanraya yang lepas. Wah! Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia mestilah menjaga hati Awang Selamat sebelum membuat apa-apa tuntutan kerana bila hati Awang Selamat tertoreh, maka hati UMNO pun tertoreh; dan bila hati UMNO tertoreh maka hati Melayu pun tertoreh. Begitulah agaknya logik Awang Selamat.
Dia tidak sedikit pun mengulas apa yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang bukan Melayu itu. Apakah yang “kerterlaluan” itu? Kalau pun mereka bertanya soal biasiswa atau pembahagian tanah atau peluang kerja; tak bolehkah dijawab secara rasional dan berpandukan fakta. Mengapa mudah benar tertoreh hati? Apakah segala tuntutan orang bukan Melayu itu (yang ada hak di bawah Perlembagaan) tidak wajar dan tidak berasas? Mengikut Awang Selamat begitulah agaknya kerana 50 tahun dahulu UMNO dan Melayu telah “bermurah hati” memberi kerakyatan kepada nenek moyang mereka semasa Merdeka. Jadi kerana kerakyatan itu diberi atas ehsan dan besar hati UMNO maka anak cucu mereka tidak sama sekali boleh MEMBUAT APA-APA TUNTUTAN kerana mereka mesti sentiasa dan selama-lamanya mengenang budi kemurahan hati UMNO.
Pemikiran seperti inilah yang saya maksudkan sudah tidak laku dan ditolak oleh rakyat semua. Bila rakyat meminta sesuatu walau pun dari Melayu, Cina atau India, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (dan akhbar yang bertanggung jawab menilainya) untuk cuba menunaikan permintaan tersebut. Kalau keterlaluan, terangkan saja mengapa tapi jangan ungkit sejarah untuk menutup kekurangan kita. Janganlah sentiasa naik marah dan mengugut dan memberi serpihan sejarah yang tidak lengkap untuk membuat modal politik.
Kita mendapat kemerdekaan kerana British telah bersetuju dengan pihak Perikatan dalam hal syarat-syarat kemerdekaan tersebut. Bila kita bersetuju, kita hormatilah perjanjian tersebut. Usahlah nak ungkit bahawa kita bermurah hati memberi kerakyatan yang mudah kepada Cina dan India. Hakikatnya itulah syarat yang kita setuju. Tak ada siapa yang memaksa kita memberi kemudahan itu. Pada masa itu adalah mustahil untuk British melepaskan Malaya pada tahun 1957 jika soal kewarganegaraan kaum Cina dan India tidak selesai. Sejak Gerald Templer dihantar ke sini oleh Winston Churchill pada tahun 1952, semua pihak berusaha mencari jalan ke arah memerdekakan Malaya tetapi dengan syarat yang perlu diselesaikan ialah penerimaan kaum Cina dan India sebagai warganegara. Kerajaan British tegas dalam hal ini. Dan UMNO setuju dengan syarat ini. Itulah harga kemerdekaan yang Perikatan faham dam menerima dengan hati terbuka. Apakah Utusan ada fakta sejarah yang berbeza?Tapi katakanlah kita terima pandangan kononnya UMNO telah “bermurah hati “tentang kerakyatan kepada mereka yang menjadi warganegara lebih 50 tahun dahulu; adakah Awang Selamat mengharapkan cucu cicit mereka sekarang ini tidak langsung boleh bersuara tentang hak mereka? Adakah mereka perlu diam kerana tok nenek mereka dulu kononnya telah mendapat ehsan dari UMNO? Pemikiran feudal ini tidak ada tempat dalam sabuah Negara moden yang menghormati hak rakyat nya sendiri.
Satu lagi rencana ialah tulisan pengarang kanan Zulkiflee Bakar yang memberi nasihat kapada pembaca Utusan supaya jangan buta sejarah. Agaknya Melayu macam saya ini dianggap buta sejarah. Sebenarnya soal sejarah tidak sukar dipelajari dan saya memang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah. Tetapi orang yang paling malang dan kita kasihan ialah orang yang buta hati. Bila hati kita buta, tidak ada fakta dan ilmu yang dapat mengisi kekosongan dalam diri kita. Akhbar Utusan dan Mingguan sepatutnya membantu Perdana Menteri meneroka paradigma baru seperti dalam mencari erti 1 Malaysia yang sebenar (perkataanya pun ialah Malaysia; bukan mana-mana kaum tertentu). Akhbar ini sepatutnya membantu Perdana Menteri mencari jalan membangunkan ekonomi dengan pendekatan dan dasar yang lebih pragmatik dan adil. Akhbar sepatutnya mencadangkan cara yang pragtik dan progresif untuk membantu PM bukan menjadi pelobi ideologi yang usang .
Tapi Utusan masih mahukan gurindam perkauman. Bagi Utusan, Melayu gagal kerana orang Cina, kerana orang India. Sedarlah Utusan, orang bukan Melayu dan Melayu sendiri pun sudah dapat membezakan antara Melayu dan UMNO, tahu bahawa bila dasar UMNO dikritik, ia bukan mencabar Melayu tetapi mencabar UMNO. Usaha nak lagakan Melayu dan Cina kian hebat di usahakan tetapi percaya lah api perkauman tidak mungkin dapat menyala saperti dahulu.. Usahlah mudah tertoreh hati bila sesuatu dasar UMNO dikritik dan dipersoalkan. Orang Melayu telah banyak berubah minda dan kefahaman mereka tentang Malaysia dan masa depan mereka; mereka tahu perbezaan itu. Mereka tahu apa yang menanti dalam dunia yang penuh mencabar ini. Dan apa perubahan yang perlu mereka lakukan.Cuma Utusan belum sedar perubahan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam sejahtera, kita dilahirkn agar menjadi insan yang baik, sebahagian besar identiti lahir dari lidah. maka ungkapkanlah perkataan yg baik-baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech