Selamat Datang ke Blog Matatech

Jumaat, 12 Jun 2009

Kerajaan sisihkan pesara tentera OKU

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh) - Harapan bekas anggota yang hilang upaya kepada Menteri Pertahanan baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membela nasib mereka nampaknya hanya tinggal impian.
Kadar bayaran pencen hilang upaya kepada bekas tentera terutama yang berkhidmat menentang Komunis sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, kini tidak mampu lagi menampung perbelanjaan keluarga.
Mereka tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan sama ada dari segi pencen setelah mengalami kecederaan, hilang upaya atau hilang upaya kekal.
Sebaliknya kenaikan kadar pencen yang diumumkan Abdulah 21 Mei 2007 tidak melibatkan pencen hilang upaya bekas tentera.
Mereka juga tidak termasuk di kalangan 325 anggota dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalami kecederaan atau hilang upaya kekal semasa berkhidmat bakal menerima Skim Faedah Hilang Upaya Kekal baru, bermula awal tahun ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Wira Abu Seman Yusop pada 18 September lalu.
Malang bagi pesara tentera OKU yang berjumlah sekitar 250 orang di seluruh negara tidak mendapat sebarang pembelaan daripada kerajaan.
Bagi Zarawi Mohd, 52, yang kehilangan kaki kiri pada aras lutut berkata, tidak semua bekas tentera yang mengalami kecacatan dapat melakukan kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya pihak kerajaan sewajarnya memikirkan kaedah untuk membantu mereka selain bantuan dan sumbangan yang sedia ada.
"Jika kadar pencen hilang upaya dinaikkan, ianya dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan hidup yang ditanggung mereka dalam suasana harga barangan keperluan semakin meningkat sekarang," ujarnya ketika ditemui di sini.
Beliau mengalami kecederaan semasa menyertai Operasi Cahaya Bina 2 di Selatan Thailand pada 26 Julai 1977.
Rakannya Hamzah Musa, 58 berharap kerajaan mengkaji semula kadar pencen hilang upaya memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau yang terkena jerangkap samar musuh dalam operasi di Selamat Sawadee, Selatan Thailand pada 26 Ogos 1976.
"Ada di kalangan kami yang tak bekerja, terpaksa menanggung anak-anak sekolah yang ramai, pencen sedia ada tak mencukupi, jadi adalah wajar jika pencen tersebut dikaji semula," ujarnya yang mengalami kecederaan parah di kaki kiri.
Seorang lagi bekas tentera, Salleh Busu, 58 berkata, tiga tahun lalu ada cadangan supaya diselaraskan bayaran pencen hilang upaya dengan kadar minimum RM500 tetapi sehingga kini tiada apa-apa perkembangan mengenainya.
"Saya harap mendapat perhatian daripada kerajaan berhubung bayaran tersebut kerana boleh dikatakan sebahagian besar bekas tentera tidak menerima apa-apa anugerah termasuk tanah daripada kerajaan," ujarnya.
Beliau mengalami masalah penglihatan di kedua-dua belah mata setelah terkena jerangkap samar komunis dalam operasi untuk memusnahkan bom di Gubir, Kedah pada 1979.
Bekas platun bantuan pasukan Rintih Serang itu berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam sejahtera, kita dilahirkn agar menjadi insan yang baik, sebahagian besar identiti lahir dari lidah. maka ungkapkanlah perkataan yg baik-baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech