Selamat Datang ke Blog Matatech

Khamis, 9 Julai 2009

Sultan Selangor: Jangan anggap institusi raja sekadar lambang istiadat


SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak terutamanya wakil rakyat di negeri itu supaya mengikis tanggapan bahawa institusi raja di negara ini sekadar lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata.
Baginda bertitah anggapan itu perlu diperbetulkan segera kerana institusi itu sebenarnya mempunyai kuasa serta peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan, kebesaran dan kemuliaan raja-raja.
Malah, baginda turut menyatakan peranan itu merangkumi tanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.
"Beta pada hari yang bersejarah ini mengingatkan ahli Yang Berhormat (wakil rakyat) bahawa Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan berparlimen sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Malah, sistem ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Asas kepada peruntukan penting ini (Perlembagaan) adalah hasil daripada pemuafakatan yang dicapai antara tiga kaum terbesar negara ini iaitu Melayu, Cina dan India atas perkenan raja-raja Melayu dan persetujuan kerajaan British.
"Maka dengan itu anggapan sesetengah pihak bahawa raja adalah sekadar lambang kebesaran dan hanya berperanan dalam upacara rasmi sahaja adalah satu tafsiran yang salah dan perlu dikikis serta diperbetulkan dengan segera," titah baginda pada Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan 50 Tahun Dewan Negeri Selangor di sini semalam.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta 56 anggota dewan itu.
Sultan Selangor berkenan menyampaikan titah ucapan pertamanya pada majlis ini selepas selamat menjalani pembedahan jantung (Mitral Valve Repair) di Pusat Perubatan Stanford University di Palo Alto, California pada 2 Mei lepas.
Sultan Sharafuddin turut menegur sikap sesetengah wakil rakyat sejak kebelakangan ini yang memperlihatkan sikap kurang sopan dan tidak beradab kepada institusi raja serta kemuliaan Dewan Negeri Selangor. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam sejahtera, kita dilahirkn agar menjadi insan yang baik, sebahagian besar identiti lahir dari lidah. maka ungkapkanlah perkataan yg baik-baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech