Selamat Datang ke Blog Matatech

Khamis, 9 Julai 2009

PPSMI dimansuh, Sains dan Matematik dalam BM, bahasa ibunda pada 2012

PUTRAJAYA: Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia manakala di SJK Cina dan Tamil akan dikendalikan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan tersebut akan mula dikuat kuasa pada 2012.
"Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula tahun 2012.
"Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi," katanya pada sidang media khas di Kementerian Pelajaran semalam.
Jelas Muhyiddin, Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Katanya, strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.
"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwibahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.
Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.
"Apa ysng dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, kerajaan memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan dengan memperkenalkan beberapa langkah antaranya seperti berikut:
- Menambah bilangan guru Bahasa Inggeris seramai 13,933. Jumlah itu termasuk 1,000 orang guru luar negara, 6,000 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS.
- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi sekolah kebangsaan Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu. Manakala bagi Tahap II ditambah sebanayk 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJK Cina dan Tamil Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
- Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.
Tambah Muhyiddin, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.
"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Selain itu hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi," katanya.
Menurut beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
"Malah jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan," katanya.

2 ulasan:

  1. Salam Ziarah...

    Nampaknya kita sama dari bekas ATM, cuma saya dari TLDM, joint pun tahun 81, pencen 2002, genap 21 tahun, terus pencen...

    BalasPadam
  2. alhamdulillah, kita macam sebaya dan sealiran je. Ini namanya perjuangan selepas berjuang. buat hilang kesepian sambil beriadah, kerana darah masih muda. tulang 4 kerat masih boleh berkayuh ligat. salam, sampai bertemu kembali.

    BalasPadam

Salam sejahtera, kita dilahirkn agar menjadi insan yang baik, sebahagian besar identiti lahir dari lidah. maka ungkapkanlah perkataan yg baik-baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Senarai Blog Matatech